08 Januari 2010

Isteriku Iron Lady 1


“Aiyaa..panasnya hari ni!” Dhiya mengibas-ngibas tangannya. Mencari angin tambahan yang dihasilkan tangannya. Peluh merenik di bahagian dahi dan di bawah hidung dikesat dengan sapu tangan. “Mana shuttle ni? Ni yang buat aku hangin ni! Pak cik ni lah, suka betul rehat. Hisy..”Dhiya masih merungut-rungut. Dia menjeling jam sekilas. Pukul 2. Sepatutnya shuttle kampus sudah bergerak bagi mengambil para pelajar di setiap kolej bagi menghantar mereka ke fakulti masing- masing. Syikin di sebelahnya juga masam. Mana taknya, mereka sudah menghafal waktu perjalanan shuttle. Siap plan dan bajet waktu mereka supaya mereka tidak terlepas shuttle untuk pulang ke kolej kediaman. Nasib baik hari ni mereka tiada kelas petang.


Kalau tak kerana assignment, jangan harap nak menapak ke library dan tunggu macam menanti bulan jatuh ke riba. Kalau betul bulan jatuh ke riba, tak pe jugak. Bolehlah tunjuk skill ala-ala silap mata. Kalah Amar nanti. Haha..! Duit pun sah- sah masyuk!! Tak delah hari-hari bergantung dengan duit PTPTN je. Eh, ada ke bulan jatuh ke riba?? Bukan bulan sikit punya besar ke?? Mati terus kalau tetiba bulan jatuh. Dhiya, cukup-cukupla imaginasi luar alam kau tu.

“Dhiya, kau nak makan tak kat kolej?”soal Syikin mematikan imaginasi yang makin melalut Dhiya. Tangannya turut mengibas-ngibas. Fail di tangannya hampir terkena batang hidung Nadhiya. “Kau ni kalau nak kibas-kibas, agak-agakla sikit. Kang kena aku, saman baru tau!” Syikin mencebik. Dia menjatuhkan tangan yang memegang fail. Matanya tiba-tiba bulat. “Eh, shuttle! Jalan 1. Jom.” Kad matrik ditarik dari dalam fail sebelum dia bangun. Dhiya juga cepat-cepat mengeluarkan kad matrik di dalam poket baju kurungnya.

‘Seksalah nak kena pakai buang kad matrik ni. Kalau pakai, dikata skema. Aku ni kena badi kad matrik la kot. Dua tahun di asasi wajib pakai kad matrik, mahunya tak buang-buang. Nasib pergi tandas je tak pakai. Kang, kalau tak pakai, mahu bernanah telinga dengar pak cik shuttle ni membebel. Kalau kejap, boleh dikira ampun lagi, ni jejak kaki naik shuttle sampai turun shuttle, dengar celoteh pakcik tu. Tu belum kira lagi pakcik yang membebel sampai satu round kampus ni, baru berhenti bebelan. Orang yang tak bersalah pun dihamun sekali. Ngaa~’

“Ni mana kad matrik? Lain kali gantunglah kat leher tu. Bagi tali tak nak pakai…” ‘Kan aku dah cakap! Sediakan telinga! Sabar ye telinga, kejap je.’ Dhiya menjeling sekilas ke arah pemuda yang baru menapak menaiki shuttle. Terkulat-kulat dia mengeluarkan kad matrik dari poket jeansnya. Pelajar-pelajar lain menderu naik shuttle dengan gaya penuh skema. Semua menggantung kad matrik di leher. Lainlah yang otai sikit. Pegang je kad tu. Tayang je depan pak cik tu kalau pak cik tu tanya. Harulah jenis orang cenggini. Dhiya masih memandang ke depan. Pemuda tadi menayang kad matrik di depan mata pak cik itu. Mangai~ ‘Boleh tahan otai jugak mamat nih. Dekat giler ditayangnya. Sampai pak cik tu terkebelakang dibuatnya. Padanlah buat muka toya semacam je. Naik bas pun buat gaya samseng kampung aku je, Kampung Dusun. Kehkehkeh.. tapi nama kampung aku Kampung Dusun Baru la. Hehe..mana ada dah Kampung Dusun. Ada ke? Entah, aku tak ambil port pun kalau ada. Ada aku kesah??’

Dhiya menjeling ke sebelah. Berderau darah ke mukanya. ‘Mamat ni?’ Dhiya melingas sekeliling. Satu dua tiga...tujuh. Matanya jatuh ke wajah pemuda tersebut. Matanya berkata, ‘kerusi punyala banyak, yang kau dok sebelah aku pekehal? Sengal!’

Pemuda tadi tak beriak. Matanya menala wajah Dhiya, ‘ada aku kesah?? Suka hati akulah. Bapak kau punya bas ke?’ Hanya mata berbicara tanpa sebarang suara. Pemuda tadi menarik sengih sumbing melihat Dhiya cepat-cepat berpaling ke tepi tingkap. Sengihan melebar melihat Dhiya mengetap gigi menahan geram. Berbunyi-bunyi giginya berlaga. Matanya tertancap pada kad matrik gadis itu. Nadhiya Syuhada. Sesi 2008/2009. Junior aku.. What?? Pengajian Islam? Dia menjeling sebelah. Kenapa tak perasan pulak minah ni pakai tudung bidang 60’ dengan baju kurung? Sarung tangan, sarung kaki? Dia tersengih sendiri bila melihat ada lagi jarak dalam satu inci antara dia dengan Nadhiya. Kalau boleh, minah tu rasanya nak je melekat dekat tingkap shuttle mereka itu. Padanlah minah ni garang giler bila aku duduk sebelah dia. Rupanya minah islamik. Oppss, salah pancing pulak. Senyuman mati pabila mata bertembung.

‘Apa kes pulak sengih sorang-sorang ni? Seram aku..menyesal tak duduk dengan Syikin tadi. Konon nak duduk tepi tingkap. Hampeh! Selalu naik shuttle, takdelah berani mana-mana lelaki duduk sebelahnya.’ Mahunya tak, sekali jeling, ketar lutut lelaki. ‘Hisy! Cepatlah sampai 10th.’ Dhiya merungut-rungut.

Pintu gerbang 10th di depan mata. Yeah..! ‘Akhirnya, berakhir azab aku.’ Pelajar- pelajar berpusu-pusu turun. ‘Deyh, pakcik. Bila kau nak turun ni?’ Syikin sudah turun. Syikin juga menayang wajah simpati dengannya. Dia menjeling lagi. Matanya jatuh pada kad matrik. Nak juga tahu nama mamat yang membuatkan hatinya terbakar. Bulat matanya bila melihat kad matrik yang tadinya dia nampak wajah dan nama pemuda itu telah cepat-cepat diterbalikkan.

“Kot ye pun nak tahu nama saya, janganlah buat terhendap-hendap macam pencuri nak masuk rumah.” Dhiya terpana. Mamat ni perasanlah pulak. Kantoi terang- terangan! Ngee~ Dia mengekalkan riak selamba.

“Eh, jangan perasan, okey. Cepat, saya nak turun.” Dia bingkas bangun. Cepat-cepat dia melangkah turun dari bas apabila pemuda yang masih tidak tahu namanya memberikan ruang untuknya. Kononnya ‘ladies first’lah tu. Wekk! Tak hengen aku dengan mamat yang rambut ‘masih terpacak’ gaya ala-ala model Brylcream tu! Bagi free pun tak nak! Dia mendapatkan Syikin yang sudah memerah wajahnya disimbah panas mentari.

“Nadhiya Syuhada!” Kelui satu suara. Kelui? Panggillah. Bahasa oghang Kedah. Dhiya berpaling melihat mamat ‘masih terpacak’ tu. Matanya bertanya, ‘apa? Tak habis-habis lagi nak pekena aku ke??’ Mukanya ditarik masam. Semasam-masamnya. Tapai pun tak boleh challenge. Syikin turut berpaling, melihat drama sebabak.

“Nama aku Afiq. Kau ingat yang tu dulu. Kalau bagi nama penuh pun, kau takkan ingat pun.” Dia berlalu menapak ke arah kolej kelapan.

Dhiya menarik nafas kasar. Kurang asam! Kalau dia tu Epol, anak paksunya, dah lama dah dia kejar, bagi penumbuk sebijik. Geramnya aku dengan mamat ni!! “Dhiya, dahlah tu. Relax. Jangan emo sangat. Biarlah dia. Jom. Aku dah lapar ni. Jom pekena nasi ayam Pak Abu.” Syikin memujuk. Mengurangkan sedikit tekanan yang diterima temannya. Mereka menapak ke arah pintu pagar 10th.

************************************************************

Tiada ulasan:

Catat Ulasan